Dipetik dari: Sesat Dalam Waktu! oleh Rosminah Hj Bakkang (Infiniti Edisi ke 6, November 2009)
KES 1
Pada satu malam bulan November 2004, seseorang yang beridentiti Cher, menulis di Internet bahawa dia pernah mengalami satu tragedi sesat dalam ruang waktu ketika sedang memandu seorang diri ke Bandar yang terletak kira-kira satu batu daripada rumahnya. Ketika meninggalkan rumah, kabus tebal muncul di sepanjang jalan. Keadaan itu membangkitkan rasa sunyi dan menyeramkan. Sejurus kemudian, dia ternampak cahaya yang sangat terang menembusi kepulan kabus. Cher terus memandu mendekati cahaya itu. Dia kemudian ternampak stesen minyak Philips 66. Sungguh pelik kerana dia tidak pernah melihat stesen minyak itu sebelum ini.
“Seorang lelaki keluar dari kedai stesen dan saya bertanya kepadanya, bagaimana stesen minyak itu boleh dibina dengan begitu cepat? Lelaki itu menatap wajah saya kehairanan. Terus dia bersuara, stesen minyak ini sebenarnya sudah berada di sini sejak lapan tahun lalu. Lalu, saya bertanya lagi, di mana lokasi saya berada. Jawapan yang diberikannya membuatkan saya gementar.
“Rupanya, saya berada sejauh 483 kilometer dari rumah!,” katanya. Cher memandang jam di tangannya. Mengejutkan, jarum jam hanya bergerak dua minit. Dia bingung, bagaimana dia boleh pergi sejauh itu dalam masa yang sangat singkat?
KES 2
Seorang wanita yang menamakan dirinya sebagai Kim juga turut menceritakan pengalamannya dan suami tersesat dalam ruang waktu. Kejadian itu berlaku pada bulan Ogos 1999 lalu. Ketika itu, dai dan suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka yang terletak di Kingman, Nevada. Mereka dari Las Vegas, menaiki dua kenderaan secara berasingan. Suaminya menunggang motosikal Harley, manakala Kim memandu kereta sambil mengekor daripada belakang. Tidak lama selepas itu, motosikal suaminya tiba-tiba bergerak laju dan berada jauh di hadapan.
Apabila dia ingin mengejar suaminya, muncul banyak kereta di hadapan dan di belakangnya. Tiba di rumah, dia melihat jam. Terkejut bukan kepalang kerana mendapati perjalanan itu telah mengambil masa empat jam, berbanding kebiasaannya satu setengah jam. Apa yang menjadi tanda Tanya, daripada mana datang semua kereta misteri itu, padahal jalan raya dikelilingi gunung-ganang dan tebing curam? Malam itu, mereka hanya terdiam memikirkan kejadian pelik tersebut.
KES 3
Seorang suri rumah yang bernama Tillie menceritakan, pada musim luruh tahun 2002, suami dan anak tunggalnya pergi memburu rusa di hutan berdekatan Nenana, Alaska. Dua beranak itu memasang khemah yang tidak jauh daripada pintu masuk hutan kerana ingin bermalam di situ. Tapi, itulah perkara terakhir yang mereka ingat. Apabila tersedar, keduanya bingung kerana berada dalam hutan tebal dan gelap.
Keesokan hari, barulah keduanya tahu bahawa mereka berada sejauh 3.2 kilometer daripada tapak perkhemahan. Sampai ke hari ini dua beranak ini tidak tahu bagaimana mereka boleh sampai ke situ.
KES 4
Douglas dan ayahnya keluar mencari rumah untuk disewa pada pukul 6.00 petang tahun 1981. Mereka berhenti di Route 76, Austintown, Ohio kerana terlihat sebuah rumah kosong dua tingkat. Ketika menghampiri kediaman itu, mereka terdengar suara budak kecil lelaki dan perempuan ketawa dari halaman belakang rumah. Apabila, keduanya mendekati suara itu, hanya nampak buaian bergerak sendiri tanpa ada seorang pun di situ.
Douglas kemudiannya masuk ke ruang tamu rumah. Keadaannya seperti tidak pernah dilihat selama ini. Oleh kerana berasa ngeri, dia pergi mendapatkan ayahnya. Si ayah menyalakan lampu ruang bawah tanah. Mereka berdua pun turun ke ruang bawah tanah rumah itu. Ruangnya sempit sekali. Tiba-tiba lampu terpadam dan pintu menuju ke ruang bawah tanah tertutup sendiri. Suasana begitu gelap sekali hinggakan Douglas tidak nampak tangannya sendiri.
Douglas ketakutan dan terus memegang baju ayahnya. Mereka berpimpin menaiki tangga untuk keluar dari situ. Sampai di ruang atas, semua lampu menyala, tetapi keadaan di luar sangat gelap gelita.
“Kami berlari masuk ke dalam kereta. Tiba di rumah, nenek bertanya ke mana kami pergi sepanjang hari. Saya pelik dengan soalan nenek kerana baru lima minit tadi kami berada di ruang bawah tanah rumah kosong itu. Saya terus melihat jam, ketika itu sudah pukul 2.30 pagi. Ini bermakna, kami telah hilang selama 21 jam. Ayah bertanya, apakah saya melihat semua itu? Saya mengangguk. Kami berpelukan sambil menangis seperti anak kecil,” cerita Douglas.
No comments:
Post a Comment