Kisah ini adalah tentang seorang lelaki Atheis (tidak percaya akan ketuhanan) yang menetap di USA. Dia bekerja sebagai seorang ketua pengarah dalam sebuah syarikat ternama. Dia mempunyai sebuah keluarga yang bahagia, ditemani seorang isteri yang baik serta anak-anak yang patuh. Kerjayanya juga semakin hari semakin menguntungkan. Hidupnya bahagia sekali sehinggalah tiba satu hari yang mengubah segala-galanya.
Peristiwa hitam itu bermula dengan kematian isterinya yang mengalami kemalangan dan meninggal 2 hari kemudian akibat kecederaan parah. Si lelaki ini merasakan hidupnya seakan-akan gelap kerana dia terlalu mencintai isterinya itu. Kesannya, lelaki ini dilanda kemurungan, dan mula mengabaikan kebajikan anak-anaknya.
Suatu hari dia bertemu dengan seorang paderi Kristian. Dia menceritakan segala-galanya kepada paderi tersebut. Paderi itu memahami masalah yang dihadapinya lalu mengajaknya menganut agama Kristian, agar rohaninya dapat diubati. Si lelaki ini turut sahaja pelawaan paderi itu. Setelah dibaptiskan, lelaki ini mula diajar tentang konsep ketuhanan. Melalui itu, hatinya mula meyakini akan kewujudan tuhan. Hidupnya juga semakin hari semakin bertambah baik.
Namun selang beberapa bulan, rumahnya mengalami kebakaran. Kedua-dua anak perempuannya mati dalam kebakaran tersebut. Si lelaki ini menjadi terlalu sedih dan mengalami tekanan yang melampau. Lantas dia bertemu dengan paderi itu lalu berkata,
"Aku tidak percaya kepada Tuhan! Tuhan terlalu kejam buat diriku.." lantas dia kembali kepada pegangan asalnya sebagai seorang Atheis.
Suatu hari dia berjumpa dengan seorang sami Budha. Sami Budha itu menasihatkannya agar memeluk agama Budha untuk mencapai ketenangan hidup. Lelaki itu berat hati untuk menerima nasihat tersebut. Namun, dia menggagahkan diri untuk mencuba.
Selang beberapa bulan, hatinya masih tidak tenang. Jiwanya dibelenggu rasa kesedihan tatkala teringatkan ahli keluarganya yang tersayang. Setiap hari, bayangan mereka akan muncul dalam mimpinya.
Dia mula menyalahkan Tuhan kerana tidak bersikap adil kepadanya. Dia berjumpa sami itu lalu menyatakan hasratnya untuk keluar dari agama Budha. Katanya, dia ingin merantau untuk mencari ketenangan yang sebenar-benarnya.
Lelaki itu memulakan perantauannya. Dia menjelajah ke seluruh negara untuk mencari erti kehidupan. Namun usahanya menemui jalan buntu. Tiada siapa yang mampu mengubat hatinya yang terseksa. Setiap hari hatinya menjerit;
"Dunia ini tiada Tuhan! Aku tidak percaya kepada Tuhan"
Sehinggalah suatu hari dia melintasi sebuah masjid di sana. Melihat masjid itu, dia berkata kepada dirinya,
"Should I try Islam instead? But why? Islam is terrorism"
Lalu dia terlihat segolongan umat Islam mengerjakan ibadah beramai-ramai dengan tenang sekali. Timbul rasa kagum di hatinya. Setiap hari dia akan datang ke masjid itu dan memerhatikan mereka. Perbuatannya itu disedari oleh seorang tua yang sentiasa mengerjakan ibadah di masjid itu.
Suatu petang, orang tua itu menyapa lelaki ini lalu mereka bersembang. Lelaki itu menceritakan sejarah hidupnya. Lelaki tua itu tidak terus mengajaknya memeluk Islam. Tetapi, dia mulakan dakwahnya secara berperingkat. Dia mengajar lelaki ini tentang tujuan hidup seseorang manusia. Lalu diceritakan kepada lelaki itu bahawa setiap kejadian ada hikmah di sebaliknya.
Orang tua itu kemudiannya mengajar lelaki itu tentang konsep ketuhanan, lalu berkata;
"Embrace Islam and lay your faith in Allah"
Walaupun dia dapat menerima ajaran orang tua itu, namun si lelaki ini masih ego. Dia masih berdegil kerana baginya Islam itu agama pengganas. Lalu orang tua itu memberikan kitab terjemahan Al-Quran untuk dibaca.
"Keep it with you. Read it. And you shall understand"
Lelaki itu pulang ke rumah asalnya. Dia membaca sedikit demi sedikit kandungan kitab terjemahan Al-Quran itu. Lama-kelamaan, hatinya mulai lembut. Dia mula percaya akan Islam dan Allah.
Dalam hatinya menyebut "Allah is the God, one and only God"
Walau bagaimanapun, dia mahukan satu keajaiban yang berlaku di hadapan matanya, supaya dia betul-betul dapat meyakini kebenaran Islam.
Lalu dia menutup segala pintu dan tingkap rumahnya, termasuk semua lampu, langsir dan kipas. Kemudian dia berkurung di dalam sebuah bilik. Keadaan dalam bilik itu kini menjadi samar-samar kegelapan dan sunyi sepi. Lantas dia memeluk kitab terjemahan itu dan berkata,
"Dear God, I want to embrace Islam and lay my faith in You. But first, I want to see You, so that I will believe"
Si lelaki itu seolah-olah mahu mencabar Allah supaya memberikannya petanda.
Setengah jam berlalu, tiada apa yang berlaku.
Dia berkata lagi,
"Dear God, I want to embrace your Islam. Reveal yourself to me, so I will believe."
Dia menunggu lagi setengah jam, namun masih tiada apa-apa yang berlaku.
"God, I'm giving you the last chance. I want to see you"
Lalu dia menunggu lagi buat beberapa ketika, masih tiada apa yang berlaku.
Di saat dia sudah hampir berputus asa, kitab terjemahannya terjatuh dari pegangan lalu menampakkan satu muka surat. Dia mengangkat kitab itu lalu matanya terpaku pada ayat dari surah Al-Ankabut, ayat ke-5 yang berbunyi:
مَن كَانَ يَرْجُو لِقَاء اللَّهِ فَإِنَّ أَجَلَ اللَّهِ لَآتٍ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
"Barangsiapa yang mengharap pertemuan dengan Allah, maka sesungguhnya waktu (yang dijanjikan) Allah itu, pasti datang. Dan Dialah Yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui"
Lalu berderau darah lelaki itu dan menggeletar seluruh tubuhnya. Lantas dia menangis dan memeluk kembali kitab terjemahan Al-Quran itu.
Kemudian dia mencari orang tua itu semula dan melafazkan kalimah syahadah.
No comments:
Post a Comment