Monday, February 21, 2011

MaiLayan!-The Tale of Unsolved Mystery


Gambar hiasan: The gorgeos Olsen twins 

***Ini merupakan cerita tentang Jane***

Jane sedang keseorangan di rumahnya. Tiba-tiba kedengaran ketukan pintu. Dia bingkas bangun sambil berlari-lari anak menuju ke pintu rumahnya.

Dalam hatinya terdetik "Siapa pula yang datang ke rumah pukul 11 malam macam ni?"

"Siapa tu?" soal Jane. Tiada jawapan.

Perlahan-lahan Jane membuka pintu lalu menjenguk ke luar. Tiada siapa di hadapan pintu. Jane menjenguk ke kiri dan ke kanan. Tiada kelibat yang kelihatan. Dia menutup pintu semula sambil mengeluh.

"Pasti budak nakal yang mahu bermain-main dengan saya" katanya dalam hati.

Tepat jam 1.00 pagi. Telefon berdering. Jane terjaga dari tidur lalu bergegas mendapatkan telefonnya.

Ianya adalah panggilan dari hospital. Kakaknya, Teressa terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Lantas Jane segera bersiap dan meluru ke keretanya. Enjin dihidupkan. Kesunyian pada malam itu dipecahkan dengan ngauman enjin kereta Jane. Dia memandu dengan pantas menuju ke hospital yang dimaksudkan.

Tiba di sana, dia dibawa ke wad ICU di mana Teressa ditempatkan. Teressa berada dalam keadaan separuh sedar akibat terlalu banyak kehilangan darah. Dahinya kelihatan kesan jahitan yang panjang. Jane dibenarkan untuk menunggu di sisi kakaknya.

Sejam menunggu, Teressa tersedar. Dia kelihatan amat pucat sekali. Matanya meliar memerhatikan keadaan sekeliling. 

"Aku di mana?" tanyanya perlahan.

"Kamu kemalangan. Sekarang kita di hospital.." jawab Jane.

Teressa memalingkan mukanya untuk melihat Jane.

"Jane.." katanya perlahan.

"Ya, saya di sini. Kamu jangan risau.." balas Jane.

Teressa mengerutkan dahi, lalu berkata;

"Kenapa kamu tutup pintu itu?" tanya Teressa.

Jane bingung. Pintu apa yang dimaksudkan Teressa? Jane langsung tidak faham apa yang diperkatakan oleh Teressa. Belum sempat Jane bertanya lebih lanjut, Teressa kembali tidak sedarkan diri. 

Jane memanggil doktor untuk memeriksa keadaan kakaknya. Doktor menenangkan Jane lalu memberitahu bahawa Teressa tidak apa-apa, cuma badannya perlukan rehat. Jane diminta meninggalkan wad itu dan kembali pada esok pagi.

Keesokan harinya, Jane pergi kembali ke hopital. Teressa sudah sedar dari rehatnya. Keadaannya semakin stabil. Jane ingin menyelesaikan persoalan yang bermain di fikirannya.

"Bagaimana kamu boleh terlibat dalam kemalangan? Pintu apa yang kamu maksudkan semalam?" soal Jane.

Teressa terdiam sambil merenung wajah Jane. 

***Tamat cerita tentang Jane***

Nak tahu apa yang terjadi kat Teressa pada malam itu? 
Jom kita ikuti cerita di bawah. 

***Ini merupakan cerita tentang Teressa***

Teressa merangkak keluar dari keretanya. Kepalanya tidak henti-henti mengalirkan darah. Merah. Pekat. Dia baru sahaja terlibat dalam kemalangan. Keretanya terbabas lalu merempuh sebatang pokok di tepi jalan, kemudian berpusing-pusing sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam 30 kaki.

Perlahan-lahan dia menggerakkan kedua-dua kaki dan tangannya. Tiada yang patah. Hanya luka-luka yang kelihatan. Lehernya terasa pedih dan berdenyut-denyut. Kecederaan paling teruk adalah pada dahinya. 

Luka akibat terkena serpihan kaca itu sepanjang 5 sentimeter, jelas kelihatan merentasi kening kirinya. Mukanya juga banyak lebam-lebam akibat terhantuk pada cermin.

Teressa bergerak meninggalkan keretanya, risau kalau-kalau keretanya terbakar atau meletup. Dia meredah semak dan belukar sambil memanjat gaung sedalam 30 kaki itu. Tiba di atas, tiada satu kenderaan pon yang kelihatan untuk meminta pertolongan. Teressa menunggu dalam kesejukan malam, ditambah dengan kesakitan yang teramat pada keseluruhan badannya. 

15 minit berlalu. Masih tiada kenderaan yang lalu di situ. Teressa membuat keputusan untuk berjalan kaki meminta pertolongan adik perempuannya, Jane. Rumah adiknya terletak di kawasan hutan, 5 km dari tempat kemalangan tadi.

1 jam kemudian, Teressa sudah hampir sampai di rumah adiknya. Dia mendekati pintu rumah, lalu mengetuk berkali-kali. Badannya terasa lemah sekali. 

Beberapa ketika kemudian..

"Siapa tu?" suara Jane kedengaran.

"Ini aku, Teressa. Tolong aku, aku kemalangan" balas Teressa.

Daun pintu terkuak perlahan. Kelihatan wajah Jane di celah pintu. Teressa tersenyum. 

"Bersyukur kamu ada, tolong hantar aku ke hospital" kata Teressa.

Jane memandang ke kiri dan ke kanan lalu terus menutup pintu. 

Terkedu Teressa setelah pintu itu ditutup. Dia lantas menangis lalu berjalan seorang diri ke dalam hutan yang gelap.

***Tamat cerita tentang Teressa***

"Aku tidak tahu kenapa aku berjalan ke dalam hutan ketika itu. Dan aku juga tidak ingat apa-apa yang berlaku selepas itu. Tiba-tiba sahaja aku buka mata, aku sudah berada di hospital dan melihat kamu (Jane) ada di sisiku" (Teressa, 1995)

"Aku bersumpah, memang tiada siapa di hadapan pintu. Mungkin roh kakakku keluar dari jasad untuk mencari jalan pulang. Aku bersyukur kerana Teressa selamat. Dia hampir terbunuh dalam kemalangan itu" (Jane, 1995)

p/s: Maklumat dari pihak polis, sebuah kereta yang melalui di kawasan kemalangan itu telah menjumpai kereta Teressa di dalam gaung lalu menghubungi polis dan ambulans. Teressa dijumpai pengsan di dalam kereta. Dia terus dibawa ke hospital, dan sejurus kemudian, pihak hospital terus menghubungi Jane.