Seorang lelaki pergi ke kedai gunting rambut. Ketika sedang menggunting rambut, seorang pengemis tua lalu di hadapan kedai tersebut.
"Awak nak tengok orang bodoh tak?" tanya tukang gunting rambut itu kepada lelaki tersebut.
"Kenapa?" balas lelaki itu.
"Lihat ini," kata tukang gunting rambut itu sebelum berteriak memanggil pengemis tua itu datang.
Pengemis tua itu pon menghampiri mereka berdua.
Tukang gunting rambut itu mengeluarkan sekeping wang RM5 dan sekeping syiling 50sen lalu diletakkan di hadapan pengemis tua itu.
"Pilih satu sahaja dan terus pergi" kata tukang gunting rambut kepada si pengemis tua.
Pengemis tua itu tanpa bersuara apa-apa, lantas mengambil syiling 50sen dan terus meninggalkan tempat itu.
Tukang gunting rambut itu ketawa terbahak-bahak sambil berkata kepada lelaki itu, "Tengok, itulah orang bodoh. Dia tak mahu ambil wang RM5 yang lebih tinggi nilainya".
Si lelaki itu kebingungan. Keesokan harinya, dia pergi ke kedai gunting rambut itu lagi dengan harapan dapat berjumpa si pengemis tua itu.
Selang setengah jam, si pengemis tua lalu di hadapan mereka. Tukang gunting rambut itu memanggilnya dan menunjukkan wang RM5 serta syiling 50sen. Pengemis tua itu mengambil syiling 50sen dan beredar. Tukang gunting rambut itu ketawa terbahak-bahak sehingga keluar air mata.
"Bodoh betul orang tua ini" katanya lagi.
Si lelaki itu tidak berpuas hati. Dia mengejar pengemis tua tersebut lalu menyapanya dengan sopan.
"Boleh saya tanya sesuatu?" kata lelaki itu.
Si pengemis tua mengangguk.
"Waktu tukang gunting rambut tu bagi pakcik wang RM5 dan syiling 50sen, kenapa pakcik pilih 50sen, sedangkan nilainya lebih kecil dari wang RM5?"
Si pengemis tua terdiam seketika. Dia memandang syiling 50sen dalam pada tapak tangannya.
"Dengan duit 50sen inilah aku hidup setiap hari." kata pengemis tua itu.
"Maksud pakcik?" tanya lelaki itu.
"Termasuk hari ini, sudah lebih 20 kali aku mengutip 50sen daripada dia." balas si pengemis.
"Jika dihitung, aku sudah mengumpul lebih dari 10 Ringgit sejak hari pertama dia mentertawakan aku. Mengapa perlu aku ambil RM5 itu? kerana jika aku pilih RM5 itu, dia tidak akan menawarkan aku wang lagi. Biarlah aku diketawakan asalkan aku dapat hidup." tambah pengemis itu.
Lelaki itu terlopong mendengar kebenaran yang keluar dari mulut pengemis tua itu.
"Sekarang siapa lebih bodoh?" kata pengemis tua itu lalu tersenyum.
No comments:
Post a Comment