Sunday, February 13, 2011

MaiLayan!-Jangan Sebut "Lailatul Qadar" Depan Kudin


Kudin merupakan seorang budak kampong yang rajin belajar. Sikap rajinnya itu adalah hasil dari sifat azalinya yang sangat berminat untuk mengkaji ilmu. 

Selepas menamatkan pengajian SPM nya, Kudin telah menerima tawaran untuk melanjutkan pelajarannya ke peringkat diploma di sebuah IPT di Kuala Lumpur. Setelah mendaftarkan diri, Kudin memulakan pelajarannya dia sana.

Namun begitu, sejak Kudin mula mengenali alam universiti, dia semakin jarang pulang ke rumah. Dalam setahun sekali baru dia pulang ke kampung, itu pun setelah dipaksa oleh ibu bapanya. Kudin lebih gemar untuk meluangkan masa bersama-sama rakannya di sana. 

Bulan itu merupakan bulan puasa. Tinggal 2 minggu sahaja lagi untuk umat Islam menyambut Hari Raya Aidil Fitri, namun si Kudin ini masih belum membuat keputusan sama ada untuk pulang beraya di kampung atau tidak. Jika diikutkan hati, dia lebih suka untuk beraya di Kuala Lumpur, lebih meriah baginya (anak sapa ni, takleh pakai betoi haha)..

Suatu panggilan telefon pada pagi itu mengubah planning Kudin untuk beraya di KL. 

"Balik la raya tahun ni Kudin, raya tahun lepas pon hang tak balik kan.. mak hang tu dah teriak dah, setahun tak nampak muka hang.. balik sat pon jadi la, bagi hilang rindu kat hati dia.." kata ayah Kudin, Haji Borhan.

Mahu tak mahu si Kudin ni terpaksa pulang juga ke kampong kerana risau kena cop anak derhaka ngan orang kampong.

Lalu tibalah hari kejadian. Tiket pon dah beli, bas pon dah naik, maka bertolak lah si Kudin ini ke kampungnya di utara tanah air. Minggu itu merupakan minggu terakhir bulan Ramadhan. Bermakna, minggu depan dah nak raya. Gembira lah hati mak Kudin bila mendapat tahu anak kesayangannya akan pulang ke kampong.

Waktu Kudin tiba di sana, hari pon dah lewat petang. Kudin berbuka puasa bersama-sama mak dan ayahnya di rumah. Sewaktu sedang menjamu selera tu, macam-macam perkara disoal oleh mak dan ayah Kudin kepada Kudin. Hal pelajaran, perangai kawan-kawan, hal ehwal makan minum, dan sebagainya.

Tiba-tiba Haji Borhan bertanya kepada anaknya,

"Hang kat sana hang semayang terawikh dak, Kudin?"

"Err.. mesti la se..semayang, ayah.. ma...mana buleh tinggal.. Ru..rugi la, Ramadhan datang setahun sekali ja" terketar-ketar Kudin menjawab.

Lalu Haji Borhan terseyum. Lega hatinya kerana walaupun anaknya sibuk dengan pelajaran, dia masih tidak mengabaikan ibadahnya kepada Allah.

"Elok lah tu, malam ni dah masuk antara malam kesepuluh terakhir Ramadhan, kalau kita bertuah, kita dapat bertemu malam Lailatul Qadar. Bukan calang-calang orang yg boleh dapat malam tu.. jom kita ke masjid lepas solat Maghrib" kata ayahnya lagi.

"Kudin ok ja, ayah.." kata Kudin dengan tenang. (padahal tangan tu dah tumbuk2 kaki meja)

Malam itu Kudin menaiki motor dengan ayahnya. Kudin bonceng saja, sebab dia kata lebih afdhal kalau ayahnya yang bawak motor tu, hormat orang tua la kononnya (padahal dah lupa jalan nak gi masjid).

Lalu mereka meredah segala kebun getah, kebun pisang, dan segala bagai hutan belukar dalam kegelapan malam. 15 minit perjalanan, mereka sudah hampir tiba di masjid.

Tinggal lagi 100 meter nak sampai masjid, terlihatlah pancaran cahaya lampu dari masjid tersebut.

Amat kagum Kudin melihat keindahan itu (sebab dah lama tak jejak masjid la ni haha)

Tiba-tiba mata Kudin terpaku melihat suatu objek besar terlentang di atas tanah betul-betul di hadapan pintu masjid. setelah diamati dari jauh, tahulah Kudin bahawa objek itu adalah kubah masjid.

Yang menjadi persoalannya, macam mana kubah yang sebesar itu boleh berada di atas tanah? Siapa yang mengalihkannya? Tenaga manusia pun tidak mampu untuk berbuat demikian. Maka kagumlah si Kudin ini sambil mulutnya ternganga-ngaga.

Lantas ditepuk bahu ayahnya lalu dituding jari telunjuknya ke arah kubah masjid itu..

"Tengok, ayah.." Kudin bersuara.

Haji Borhan pon segera menoleh ke arah yang ditunjukkan.

"Lailatul Qadar" kata Kudin sambil matanya berpinar-pinar menahan air mata. Hatinya terasa pilu sekali kerana dianugerahkan nikmat malam Lailatul Qadar.

"Masya Allah" spontan ayat itu keluar dari mulut Haji Borhan.

Lalu perlahan-lahan Haji Borhan memberhentikan motornya. Ditatapnya wajah Kudin dengan sayu.

PAANGGGG!! kepala Kudin kena lempang.

"Lailatul Qadar tengkorak hang" kata Haji Borhan, "Tu la aku suruh balik kampung selalu, hang tak mau. Sampai masjid kampung renovate pon hang tak tau.. haisshh buat malu aku ja hang ni.."

Terkebil-kebil mata si Kudin sambil tangannya menggaru-garu kepala.

Sehingga hari ini, setiap kali Kudin mendengar perkataan Lailatul Qadar, dia akan menangis semahu-mahunya kerana berasa malu dengan kesengalannya pada malam itu. 

Mereka yang melihat Kudin menangis akan berasa kagum kerana memikirkan betapa agungnya cinta si Kudin kepada malam yang penuh rahmat itu. 

Tapi hal yang sebenarnya, kita sahaja yang tahu.. haha.. Jangan sebut "Lailatul Qadar" depan Kudin ya, nanti dia menangis.