Wednesday, February 9, 2011

MaiLayan!-Kisah Sedih 3 Sahabat


3 sahabat, Man, Salleh dan Hussin sedang pusing-pusing dalam bandar. Tujuan utama mereka adalah untuk mencari rumah kosong untuk disewa. Dah 2 hari mereka berusaha namun tiada hasil. Namun hari itu merupakan hari bertuah mereka. Mereka berjaya mencari penyewa yang ingin berpindah rumah. Rumah yang ingin disewa itu ialah sebuah kondominium sederhana, di tingkat 30. Walaupun rumah itu sangat tinggi, namun mereka tiada pilihan lain. Tambahan pula sewanya agak murah jika dibandingkan dengan yang lain.

Esoknya juga mereka angkat barang masuk ke rumah baru mereka. Kondominium itu juga menyediakan perkhidmatan lif barang, jadi mudahlah bagi mereka untuk memindah perabot dan barang peribadi.

2 hari kemudian, mereka baru pulang dari kerja. Waktu itu dah dekat senja. Kesemua mereka dalam keadaan yang sangat keletihan. Setelah parking kereta, mereka pon berjalan masuk ke kondominium. Ketika menjejakkan kaki ke dalam, mereka tengok ramai orang berkumpul di hadapan lif. Rupa-rupanya kesemua lif di situ breakdown. Satu pon tak boleh pakai. Pekerja di situ memaklumkan bahawa lif tersebut akan siap dibaiki pada lewat malam.

Man: Macam mana ni, takkan nak tunggu sampai tengah malam. Aku esok kena bangun awal, ada meeting kul 8.

Salleh: Aku ada futsal kejap lagi. Memang takleh tunggu lif ni repair.

Hussin: Sama la. Aku pon ada futsal, kat Bangi.

Mahu tak mahu mereka terpaksa menapak naik tangga ke tingkat 30.

Ketika di tingkat 4, tiba-tiba Man bersuara,

"Penat la geng. Apa kata kita cerita2 sikit. Baru hilang penat. Cerita lawak-lawak takmau, nanti kalau lawak, kita gelak. Kalau kita gelak, kita penat nak bernafas, baik kita simpan nafas untuk naik tangga. Apa kata kita cerita benda-benda sedih"

Salleh dan Hussin pon bersetuju. Memandangkan Man yang beri cadangan, maka dialah yang mula dulu.

Man: Dua tahun lepas, mak aku jatuh sakit. Dia lumpuh separuh badan. Nak makan pon kena orang tolong. Waktu aku suapkan dia makan, tiba-tiba air liur dia meleleh kena tangan aku.  Mula-mula aku diam ja. Bila dia tidur, baru aku lap air liur tu sebab dia tak nampak. Bila masuk hari kelima, air liur dia asyik meleleh ja kena tangan aku setiap kali aku suap dia makan. Aku pon marah dia sambil lap tangan aku dengan kain banyak kali. Aku rasa macam kotor lagi, so aku cuci pulak ngan sabun kat sinki. Melihatkan perbuatan aku tu, mak aku menangis sampai meleleh-leleh air mata. Waktu tu hati aku tersentap. Dulu waktu aku kecik-kecik, mak aku selalu belai aku dengan kasih sayang. Tiap hari dia buatkan makan dan minum aku. Dia suapkan aku setiap kali aku lapar. Setiap kali dia suapkan aku makan, air liur aku mesti meleleh-leleh. Tapi dia senyum ja sambil kesatkan air liur aku dengan tangan. Pastu dia cium dahi aku dengan kasih sayang.Tapi bila aku dah besar, aku menjadi sombong. Sepatutnya air liur seorang ibu itu tidak pernah kotor bagi seorang anak. Lepas sebulan, mak aku meninggal. Walau pun aku sempat minta maaf kat mak aku, aku tetap rasa bersalah atas perbuatan aku itu.." 

Maka menangislah si Man ni dengan air mata membasahi pipinya. Si Salleh dan Hussin tumpang bersedih. Ketika Man habis bercerita, mereka sudah tiba di tingkat 15. Sudah separuh perjalanan untuk sampai ke rumah mereka. Kini giliran Salleh pula untuk bercerita.

Salleh: Man patut beruntung sebab masih mempunyai mak ketika dewasa. Aku ni tak pernah rasa belaian kasih sayang dari seorang ibu. Mak aku meninggal waktu melahirkan aku. Sejak hari itu, ayah aku yang bela aku. Tapi ayah aku ni kaki judi. Setiap hari dia paksa aku buat kerja berat untuk dapatkan duit. Duit hasil kerja aku pula dia buat modal berjudi. Tak pernah pon dia gunakan duit tu untuk beli makanan untuk aku. Kakak aku pula dia jadikan pelacur. Dia jual badan kakak aku dekat tokey tempat dia berjudi sebagai bayaran melangsaikan hutang. Kadang-kadang aku rasa nak bunuh diri, tapi aku tak sanggup tinggalkan kakak aku. Suatu hari, kakak aku suruh aku lari dari rumah. Dia suruh aku cari keluarga baru kat bandar dan mulakan hidup baru. Bila aku dah berjaya nanti, dia suruh aku balik cari dia dan selamatkan dia dari ayah. Dia dah tak tahan hidup macam binatang. Aku pon ikut cakap dia dan lari dari rumah. Aku tinggal di sebuah rumah anak yatim di tengah kota. Selang dua bulan, sebuah keluarga kaya mengambil aku sebagai anak angkat. Aku mula bersekolah. Tamat sekolah, aku bekerja sebagai pegawai di sebuah syarikat kecil. Dalam masa yang sama, aku berniaga secara kecil-kecilan sehinggalah aku berjaya. Beberapa tahun selepas tu, aku pulang ke rumah untuk mencari keluarga aku. Tapi orang kampung aku kata ayah aku sudah mati kena bunuh dengan orang. Aku rasa ni semua ada kaitan dengan sikapnya yang gemar berjudi. Ayah aku banyak berhutang dengan along. kakak aku pula hilang tanpa kesan. Kawan dia kata mungkin dia lari dari rumah sebab takut diganggu along yang membunuh ayah aku. Aku sedih sangat-sangat. Sejak hari itu, prestasi kerja aku merosot. Aku dipecat oleh bos aku. Bisnes aku juga semakin teruk sampai aku terpaksa tutup bisnes tu. Sekarang aku sedang mulakan hidup baru di tempat kerja aku sekarang. Aku harap suatu hari nanti aku dapat berjumpa dengan kakak aku kembali."

Maka menangis lah si Salleh kerana terkenangkan kisah silamnya. Kedua-dua rakannya pon turut bersimpati.

Kini tiba giliran Hussin pula untuk bercerita. Ketika itu mereka sudah sampai ke tingkat 27. Tinggal 3 tingkat saja lagi untuk sampai ke rumah mereka.

"Aku akui cerita korang sangat sedih" tiba-tiba Hussin bersuara.

"Tapi cerita yang aku nak bagitau ni lebih menyayat hati" tambahnya lagi.

Kedua-dua rakannya, Man dan Salleh hanya berdiam, menunggu cerita itu untuk keluar dari mulut Hussin.

Belum memulakan cerita lagi, si Hussin sudah pon menangis teresak-esak sehingga terpaksa ditenangkan oleh rakannya. 

"Tak mengapa Hussin. Setiap orang ada kisah sedih. Tak salah untuk kita berkongsi. Biar kita kongsi kesedihan itu bersama-sama.." kata Salleh, sambil disetujukan oleh Man.

Hussin mengelap air mata dengan tisu. Dia menarik nafas panjang lalu berkata,

"Aku tertinggal kunci rumah kita dalam kereta.."

Maka menangislah mereka bertiga sambil meraung.